Allah Taala berfirman, bermaksud: "...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)" (Surah An-Nur, 24:26)
Wanita berhak memilih calon suaminya. Kerana wanita juga mengimpikan sebuah keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah. Wanita juga berhak menilai lelaki yang mendatangi mereka untuk dijadikan suami dan pemimpin keluarga.
Setelah mendengar sebuah kisah dahulu kala yang berlaku pada seorang wanita di Tanah Arab oleh Dato’ Ustazah Nor Bahyah saya tertarik lalu menulis kembali kisah tersebut dalam blog saya.
Nama gadis ini ialah Mawiyah binti Afzar, berketerunan bangsawan dan rupawan.Pada suatu hari, Mawiyah didatangi tiga orang lelaki hartawan yang ingin melamarnya sebagai isteri. Semua lelaki-lelaki itu nampak hebat-hebat belaka. Namun, kebijaksanaan Mawiyah membuatkan beliau tidak terus memilih . Sebaliknya, Mawiyah mengatur strategi dengan menyamar sebagai pengemis tua yang hodoh. Mawiyah datang ke rumah lelaki pertama daripada suku Nabit dan meminta sedekah kerana kelaparan. Lelaki itu memandangnya dengan rasa jijik lalu menyerahkan tulang-tulang unta kepada Mawiyah. Mawiyah mendatangi rumah lelaki kedua daripada suku Nabighah. Mawiyah diberikan saki-baki ekor unta yang ada . Mawiyah mendatangi yang ketiga yang bernama Hatim. Apabila melihat pengemis itu , Hatim segera memberikan daging unta yang terbaik. Selepas menerima ketiga-tiga buah tangan tersebut, Mawiyah terus pulang ke rumah. Mawiyah memanggil ketiga-tiga lelaki tersebut ke rumahnya. Mawiyah meminta ketiga-tiga lelaki tersebut mencipta sebuah syair untuk diperdengarkan kepadanya. Lelaki pertama membacakan puisinya. Puisi ciptaannya kosong tidak mengandungi apa-apa maksud. Kandungan puisi lelaki kedua pula, asyik memuji diri sendiri. Hatim pula telah menghasilkan puisi yang melambangkan akhlak dan kata-kata nasihat.
Selesai fasa ujian tersebut, Mawiyah telah mengarahkan khadamnya membawa hidangan sup yang berbeza hasil daripada penyamarannya sebagai pengemis. Lelaki pertama mendapat hidangan sup tulang unta , sup ekor unta untuk lelaki kedua dan sup daging untuk Hatim. Betapa malunya mereka apabila mengetahui pengemis tua itu adalah Mawiyah. Di antara ketiga-tiga lelaki itu, Hatimlah yang terpilih dan pinangannya diterima oleh Mawiyah kerana akhlaknya.
No comments:
Post a Comment